Oleh Juhari Said
Apabila berbicara tentang seni cetak, kebiasaaannya kita akan menyentuh topik yang menjurus kepada teknik. Karyawan pula akan bercerita bertapa payahnya persediaan untuk membuat seni cetakan. Dahinya berkerut rumit tatkala memikirkan peralatan dan sentiasa berwaspada dengan bahan. Perbualan akan menjadi perlahan bila memikirkan harga sebuah ‘etching press’ serta studio lengkap. Bagi golongan formalis yang agak kering nalurinya mereka mahu karyawan mengikut konvensyen antarabangsa. Mesti ikut peraturan.Mereka sering berkata, Kalau karya yang begini, ia bukan seni cetak. Ini karya karya ‘escapism’. Ini kisah romantisma yang sudah sebati untuk segelintir. Susah untuk dipisahkan bila berdiskusi tentang seni cetak dikalangan karyawan, ahli akademi, kurator dan pengumpul seni. Sebenarnya untuk memahami situasi ini agak mudah jika kita serius dan mendalami. Ilmu itu kunci segalanya. Penghayatan perlu bersifat inklusif dan jangan pula sekali-kali dikawal oleh nafsu jual beli atau bersandar kepada sifat seni cetak yang boleh diulang-ulang dan sering dianggap tidak esklusif.
Seni cetak sejak dulu lahir dari sebuah kerja dan aktiviti lazim, baik di Eropah, Jepun, China dan daerah kita Nusantara. Ia bercirikan hidup perkongsian agar semua dapat merasa dan menikmatinya. Ia tidak bersifat esklusif. Berasal dari gua Paleolithic, dapur ibu kita hinggalah pada pakaian harian, tempat ibadat dan juga gedung ilmu. Ia dicipta bertujuan menyebarkan rasa, kesenian dan juga maklumat untuk keseragaman budaya. Bukankah berkongsi itu satu tuntutan dan milik kemanusian sejati? Teknik yang digembling pula bukanlah sesuatu yang asing atau canggih, cuma ia telah melalui proses ubahsuai dan dimajukan mengikut peredaran masa yang panjang.Tetapi ia tetap berasal dan bermula dari kerendahan hidup masyarakat yang komunal dan marhaen dimana mana saja.

Yorumlar