Lai Loong Seng, Penghidupan di Terengganu , Gurisan
Akhir tahun 1974, merupakan detik yang memberansangkan peminat seni lukis kerana telah berlangsung satu pameran dan pertandingan seni grafik anjuran bersama kementerian kebudayaan, belia dan sukan dan Balai Seni Lukis Negara.
Bertempat di Balai Seni Lukis Negara upacara penyampaian hadiah sekaligus pembukaan pamiran di langsungkan pada 22hb November lalu. Kemudian diikuti pula dengan pameran grafik kumpula Anak Alam di studio mereka di taman budaya, Persiaran Tun Ismail pada 2hb, Disember 1974.
Ramai beranggapan bahawa seni grafik merupakan Seni Applied Art yang berfungsi sebagai bahan pelengkap untuk mass media terutamanya dalam bahan bacaan, buku-buku cerita ataupun komik-komik yang lebih dicap sebagai bahan illustrasi. Tetapi seni grafik juga digolongkan kepada seni Fine Art.
Seni grafik atau seni cetak ialah seni duimantra yang dihasilkan dengan jalan atau proses cetak-mencetak (tidak termasuk jenis monotype, tempelan ataupun kolaj). Cungkilan dari kayu, hard board, lino, sutra saring merupakan media-media yang bisa menghasilkan seni ini. Intaglio yang meliputi etching (gurisan), aquatint, mezzotint, tint sugar dan lithography merupakan hasil seni grafik setelah adanya pertemuan dengan bahan-bahan moden. Semuanya mengunakan bahan logam sebagai klisenya kecuali lithograph. Dalam lithography diperlukan sejenis batu khusus sebagai bahan pentingnya. Kesemua media-media tadi yang telah dilukis dan menjadi klise akan dicetak dengan alat pencetak khusus sebanyak mungkin. Pengulangan cetak dalam jarak waktu yang lama adalah menyalahgunakan sistem seni grafik.
Setakat ini hanya terdapat beberapa buah saja alat pencetak antaranya di universiti Sains Malaysia dan Institut Teknologi Mara. Kebetulan di kedua-dua institusi ini terdapat pengajian seni lukis dan seni reka bentuk, dan satu lagi kepunyaan latiff mohidin di taman budaya.
Jepun yang menguasai seni ini dengan para ahlinya yang terkemuka pernah merajai terus pada zaman ke zaman. Malah negeri ini juga dianggap sebagai pelopor seni grafik. Hasil Seni grafik di Jepun bermula dari hasil yang dibuat oleh pendita buddha sebagai bakti kepada ugama mereka. Diikuti dengan cungkilan kayu yang menggambarkan kehidupan harian (abad 17-19) yang lebih dikenali sebagai ‘ukiyo-e‘ yang bererti floating world of pleasure. Kemudian ‘ukiyo-e‘ ini berkembang ke eropah hinggakan pelukis impresionis seperti Vincent Van Gogh dan Paul Gauguin ketara sekali dipengaruhi dengan ‘ukiyo-e’ ini.
Dari dua gallery ( Balai Seni Lukis Negara dan Studio Anak Alam) kita melihat semacam keghairahan baru yang memberansangkan. Peserta-peserta di Balai Seni, kebanyakannya pernah belajar di institusi di luar mahupun dalam negeri. Yang terakhir ini tentu saja dari U.S.M dan I.T.M manakala dengan kecenderungan akan bentuk alam merupakan persembahan utama dari kumpulan Anak Alam yang kebanyakannya adalah pelukis-pelukis ‘auto dikdak‘ yang membentuk peribadi mereka sendiri dengan pengalaman dan percubaan. Kecuali Latiff Mohidin yang mempelajari seni grafik di Amerika, Siti Zainon di Indonesia dan beberapa calun pelukis dari I.T.M. juga turut serta pelukis-pelukis grafik dari bahagian Reka-bentuk Dewan Bahasa dan Pustaka.
Satu hal yang patut diketengahkan di sini ialah kebebasan pencetak-pencetak dalam mengubahsuai bentuk-bentuk alam (walaupun alam tidak lagi dianggap hal mutlak dalam melahirkan idea mereka) dengan gaya imaginasi dan intuisi hingga melahirkan karya kreatif dalam bentuk seni cetak ini.
Dari pameran ini juga kita dapat mengatakan bahawa taraf dan nilai karya yang telah dipilih untuk diikut sertakan dalam kedua-kedua pamiran itu adalah baik pada keseluruhannya. Dengan menunjukkan teknik yang berbagai cara-cara proses yang ‘sophisticated’. Pencetak-pencetak juga telah menunjukan keahlian mereka, walaupun dengan mengunakan bahan-bahan ringan. Cungkilan pada lino, kayu misalnya menampakkan kelancaran mereka dengan menyesuaikan daya cipta dari dalam diri dengan gaya yang tersendiri.
Bagi saya teknik penyampaikan adalah amat menentukan keseluruhan dari ciptaan itu. Inilah yang menyebabkan para panel hakim telah memilih Raja Zahabudin Yaakub sebagai pemenang utama (lihat karyanya : keluar dari yang tidak ketahui – sutra saring). Manakala dalam ‘penghidupan di Terengganu’ karya Lai Loong Seng – gurisan, kita menemukan betapa tekunnya beliau memindahkan suasana alam keliling di Terengganu khususnya suasana pantai kepada bentuk dan bahasa dalam teknik seni cetak.
Seni cetak dalam golongan Fine Art tidak dapat menghindari dari penilaian dan kriteria bahasa seni. Di mana unsur ekspresi tetap memainkan peranannya. Nilai artistik tidak ditentukan kepada subjek yang digambarkan tetapi juga unsur komposisi, garis, texture dan lain-lainnya (warna dalam seni cetak agak kurang diperhatikan). Ini tentu saja ada persamaannya dengan seni cetak untuk Applied Art, walaupun unsur ekspresi dan kegunaannya harus diimbangi.
Dengan kata lain, tercurahnya ekspresi akan melahirkan pelbagai bentuk yang masing-masing tidak tergantung kepada bakat pembawaan pelukis. Tentu saja ia mempunyai bakat visual seperti kata Peter Lawenfeld, maka ia cenderung untuk melukis dengan cara real. Sedang untuk yang non-visual, maka akan melahirkan karya-karya yang ekspresiontis, non-figuratif atau abstrak.
Nampaknya gejala ini bukanlah perkara anih bagi lingkungan para pelukis dan pencetak-pencetak kita. Tajudin dengan karyanya gurisanya seperti ‘Awanan II’ merupakan bentuk abstrak nampaknya tidak menolak juga akan bentuk alam. Begitu juga Ismail Hashim dari U.S.M. dengan wajah orangnya. Yang jelas di sini, kebebasan baik dalam apa bentuk penyampaian seni pun memamirkan keahlian pelukis dalam berimajinasi dan berfantasi di samping unsur rasio yang patut diperhatikan.
Comentarios