top of page

SENI CETAK

Oleh Juhari Said


Saya masih ingat lagi bila ibu ‘melepaskan’ kami bermain. Biasanya kami bermain dengan apa sahaja yang ada disekeliling kami. Dari upih pinang, batang buluh, daun atau biji getah, segalanya boleh dijadikan barang permainan. Aktiviti ini boleh dilakukan di mana sahaja, suasana menjadi lebih meriah bila hujan turun lebat dan kawasannya pula dipenuhi lumpur. Jika dalam sungai, sebaiknya selepas hujan, bilamana air sungai menjadi lebih dalam serta jernih dan segar. Kalau di atas pokok, paling bagus pokok rambutan atau manggis yang begitu kukuh dahannya. Lebih berkesan lagi ketika musim buah sedang meranum. Ia juga boleh dilakukan pada waktu malam yang gelap gelita tanpa lampu, pelita atau setidak-tidaknya cahaya bulan purnama. Segalanya akan berjalan lancar seperti tiada masalah yang menanti di depan atau lebih tepat bagi kami ialah langsung tidak dipedulikan suasana gelap tersebut.


Ketika ini, tiada pernah terlintas di kota fikiran untuk membeli barang-barang permainan. Hakikatnya pada zaman saya masih kanak-kanak, kebanyakan orang tidak mempunyai duit lebih. Wang hanya cukup untuk makan, pakai dan bersekolah. Tapi kami seperti sudah faham situasi ini walaupun tidak dikelilingi alatan berteknologi tinggi. Jauh berbeza dari sekarang yang mana kebanyakannya melimpah ruah, sehingga makan buah epal pun boleh setiap hari kerana sudah ramai orang Malaysia mampu dan ada juga merasa buah durian itu kurang enak baunya. Kalau saya renungi, hidup tanpa wang yang melimpah ruah ini membuat kita jadi lebih kreatif, bijak dan lebih menghargai.


Bermain dengan pot seramik yang digunakan untuk menampung susu getah oleh ibu saya sudah cukup mengasyikkan aktiviti bermain kami sehari suntuk. Menekap tanah berpasir halus dengan menggunakan pot seramik merupakan satu permainan yang tidak perlu modal kerana halaman rumah kami penuh dengan bahan tersebut. Kalau sekarang hasil terapan dari tanah itu dipanggil realiti baru dan saya telah pamerkan tanah-tanah tersebut di Galeri Petronas dalam pameran Goblock. Tetapi dahulunya ia hanya merupakan sebuah simbol kegembiraan dan katarsis seorang kanak-kanak.


Ketika saya menulis esei ini, umat Islam sedang berpuasa di bulan Ramadhan. Lazimnya waktu dahulu, kanak-kanak begitu sibuk membantu ibu membuat kuih untuk menyambut Hari Raya seperti bahulu, putu kacang dan lain-lain. Dari kecil lagi kami sudah mahir menggunakan pelbagai jenis acuan untuk membuat kuih-muih tersebut. Ia bukan satu kerja yang asing bagi kami. Kuih bahulu menggunakan acuan besi dan putu kacang menggunakan acuan kayu. Ini ilmu tentang bahan dan penggunaanya. Tepung diterap berulang-ulang supaya rupanya sama cantik dan sedap dipandang bila dimakan. Ia satu kerja yang mengembirakan bagi kami. Cuma bezanya cetakan yang kami buat didapur ibu itu tiada satu pun yang dipanggil sebagai artist proof atau test proof dan sebagainya.


Tetapi waktu ini menerap putu kacang dan membuat bahulu tidak lagi dilakukan oleh ibu-ibu atau anak-anak secara amnya. Ia berlaku kerana ramai ibu-ibu sudah bekerja di pejabat dan bukan lagi suri rumah sepenuh masa. Mereka ‘membuat’ kuih bukan lagi dibantu oleh anak-anak tetapi mereka dibantu oleh telefon dan email. Pengalaman membuat kuih untuk kegunaan sendiri sudah jarang berlaku dan dirasai. Gejala-gejala komersial itu sudah menular ke saraf-saraf kehidupan. Biasanya pengaruh-pengaruh ini sering membuat kita alpa, lalai serta kurang ambil tahu. Tidak keterlaluan jika kita sering kehilangan punca. Di tokok tambah pula oleh kehebatan teknologi sehingga kita tidak mampu lagi mencongak tanpa bantuan kalkulator atau hidup sudah tidak sempurna kalau tiada telefon bimbit.


Budaya membeli atau terbeli ini adakalanya seperti minum susu pastur tanpa pernah melihat bagaimana rupanya seekor lembu. Atau makan egg banjo tanpa pernah melihat seekor ayam yang sedang bertelur. Apalagi untuk merasai pengalaman mengejar ayam sekeliling rumah untuk disembelih di pagi Hari Raya. Mungkin dengan senang anak-anak kita memberitahu bahawa sebenarnya ayam itu tidak punya bulu, kerana itu yang sering mereka lihat di pasaraya Tesco, Jaya Jusco atau Carrefour.


Seperti yang dinyatakan tadi gejala-gejala komersial tadi menyelinap ke segala aspek kehidupan kita, tanpa kita sedari. Aktiviti-aktiviti cetakan yang bersifat fundamental tersebut sudah semakin dilupakan serta tersisih secara perlahan-lahan dan diambil alih oleh industri-industri yang berteknologi tinggi. Seperti yang berlaku dalam sejarah seni cetak-kayu yang dipelopori oleh sami-sami Buddha terdahulu, ia sudah diambil peranannya oleh kilang-kilang percetakan untuk mengeluarkan buku-buku yang menyebarkan agama tersebut. Mujurlah hari ini kita masih ada seniman-seniman yang mengamalkan seni cetak kayu diserata dunia yang secara tidak langsung berperanan mengekalkan tradisi cetakan fundamental tadi. Teknik gusiran asid di atas logam yang dipelopori oleh tukang senjata dan emas dizaman keagungan Islam dahulu, juga telah dipanjangkan oleh seniman-seniman Eropah yang begitu gigih menghasilkan karya-karya cetakan gurisan asid, akuatin serta torehan. Inilah peranan serta sumbangan seniman-seniman seni cetak di segenap pelusuk dunia.


Sememangnya rentak-rentak komersial ini amat menghairahkan, maklumlah segala-galanya jadi mudah. Ia juga melalaikan atau kadang-kadang membahayakan. Gejala-gejala komersial ini sebenarnya adalah perlakuan-perlakuan serta kegiatan-kegiatan seni cetak, cuma ia datang dalam bentuk ‘komunikasi ghairah’. Kita selalu lupa bahawa wang yang kita gunakan seharian itu adalah sehelai cetakan. Bila kita mempunyai banyak wang ia cukup menyeronokan bagi ramai orang, hidup mereka terasa terjamin, tetapi tidak kurang pada yang menjadi resah gelisah. Begitu juga muzik-muzik yang di ulang-ulang daripada pita-pita rakaman, bukan sahaja ia menghiburkan malahan kadang-kadang ia melalaikan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa cetakan-cetakan berbentuk sebegini mampu untuk dijadikan sebagai satu senjata hebat yang boleh memesongkan kehidupan manusia.


Kalau dalam seni cetak fundamental pengulangan itu adalah merupakan sebahagian dari nilai-nilai estetikanya, tetapi dalam dunia komersial pengulangan itu satu serangan kepada minda pengguna. Objek-objek, tanda-tanda, slogan serta muzik dan sebagainya diulang-ulang serta disogokan kepada pengguna. Suara-suara promosi memanggil serta melaung-laung berkali-kali seolah-olah pengguna sedang mengalami kecacatan pendengaran. Seni cetak fundamental memerlukan sensitiviti yang tinggi kerana ia perlu melalui proses pembuatan yang panjang dan kemahiran yang tinggi. Proses ini tidak dapat dinafikan berupaya mempamerkan jiwa dan jati diri seniman bila berkarya. Apatah lagi bila ia bergabung bersama idea dan pengalaman. Ia juga lebih bersifat komunal dan rendah diri. Pembuatannya sengaja dibuat sebegitu banyak agar boleh diedarkan kepada khalayak dengan harga yang rendah tetapi masih asli dan mendapat sentuhan dari seniman.


Ini berbeza dengan cetakan komersial, kerana pembuatan dan penghasilannya berlandaskan modal dan didorong oleh faktor-faktor komersial. Proses-proses perlaksanaannya agak terasing antara satu sama lain. Oleh yang demikian ia tidak berupaya mempamerkan jiwa pembuat tetapi lebih kepada mempamerkan keghairahan yang bertujuan mengaut keuntungan.


Tetapi sebenarnya pada zaman sekarang kedua-dua jenis cetakan iaitu fundamental ataupun komersial adalah berkait rapat. Kita harus akur tentang perkembangan ini kerana untuk maju ke hadapan adakalanya kita perlu bersifat realistik. Cuma perlaksanaan itu harus bijak dan mampu membangunkan imaginasi-imaginasi kita yang sering meresahkan terutama kepada golongan insan-insan kreatif.



Juhari Said Oktober 2010

(Dipetik dari Katalog Penang International Print Exhibition 2010, Penang State Museum & Art Gallery)


125 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page