oleh Fadli Mokhtar
Berbicara Dengan Mazdi Fuad Pathil
Dalam dunia seni rupa, penguasaan teknik seni cetakan (printmaking) dianggap sebagai satu pencapaian yang sukar dan mencabar - memandangkan sifatnya yang memerlukan ketelitian, masa, serta kos yang kadangkala tinggi. Seni cetak di negara ini masih belum lagi menjadi satu disiplin seni yang dominan jika dibandingkan dengan seni catan atau arca. Keadaannya ini masih tidak banyak berubah, sangat sedikit yang mengetahui tentangnya, sangat sedikit yang menggemarinya, sangat sedikit yang memahaminya dan sangat sedikit yang memupuknya.
Namun, disebalik situasi ini terdapat segelintir pengamalnya yang masih mempercayai ada sesuatu yang bernilai dalam medium ini. Lalu mereka meneroka dan berinovasi untuk mencapai kesimpulan yang dicari. Inilah kisah perjalanan seorang seniman seni cetak di negara ini dalam mendepani rencam medan seni cetak.
Melanjutkan bicara ini, saya berkesempatan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dunia seni cetak daripada Madzi Fuad Pathil, seorang bekas anggota bomba yang telah beralih menjadi penggiat seni cetak. Fuad berkongsi pandangannya tentang bagaimana pengalaman hidupnya sebagai anggota bomba telah mempengaruhi cara beliau berkarya. Beliau menerangkan bahawa proses seni cetak bukan sahaja tentang teknik, tetapi juga melibatkan emosi dan cerita yang ingin disampaikan kepada masyarakat.
Pewawancara: Sila ceritakan tentang latar belakang anda. Saya di fahamkan anda adalah seorang bekas anggota bomba dan penyelamat. Agak menarik untuk melihat peralihan yang unik daripada pasukan unit beruniform kepada bidang seni rupa. Sila terangkan lebih lanjut tentang titik perubahan yang membawa anda ke jalan ini?
Fuad Pathil: Setelah bertahun-tahun berkhidmat dalam pasukan bomba, saya mendapati diri saya merenung kembali cebisan-cebisan memori tersebut. Ia sebenarnya adalah satu bentuk refleksi bagi saya. Selepas bertahun-tahun memadamkan kebakaran dan menghadapi situasi hidup dan mati, saya menyedari bahawa saya memerlukan cara untuk mengekspresikan cerita- cerita yang ada dalam diri saya - cerita tentang keberanian, ketakutan, dan keadaan manusia dalam keadaan kecemasan merupakan satu hal yang penting untuk dirakamkan. Lalu saya mendapat idea untuk mengekspresikan apa yang telah saya alami. Percikan semangat itu menyalakan api dalam diri saya, dan saya menyedari bahawa saya ingin berkongsi naratif ini melalui jalan berkarya.
Saya sedar walaupun hari-hari saya berlari ke dalam bangunan terbakar mungkin sudah berlalu, saya masih boleh menyampaikan pengalaman yang kuat tersebut melalui seni. saya mula merenung tentang pengalaman masa lalu dan ini mengingatkan saya tentang kerapuhan hidup. Saya mula melukis untuk mengatasi perasaan-perasaan itu. Akhirnya, jelaslah bahawa saya perlu mengungkapkan pengalaman tersebut melalui seni. Ia mungkin nampak seperti satu lonjakan, tetapi kedua-dua peranan ini berkongsi inti kreativiti dan semangat yang berkaitan. Sebagai ahli bomba, saya mendalami kehidupan dari jurang yang berbeza dimana kadangkala saya melihat keindahan dalam kekacauan. Kebakaran yang saya padamkan sering kali membangkitkan sesuatu dalam diri saya iaitu - “sebuah keperluan untuk mengekspresikan emosi tersebut”. Selepas meninggalkan pasukan bomba, saya mendapati diri saya merindui ruang untuk berkreativiti. Saya mula terlibat dengan aktiviti seni untuk meneroka pelbagai medium. Seni cetak memikat saya; ia terasa seperti menangkap momen dalam bentuk yang boleh dirasa, sama seperti bagaimana saya pernah menangkap kenangan dan cerita sebagai pemadam kebakaran."
Pewawancara: Agak menarik bagaimana anda menemui saling kait antara profesi anda yang terdahulu dengan praktik seni anda sekarang. Bagaimana pengalaman anda sebagai anggota bomba mempengaruhi karya anda sebagai artis cetak?
Fuad Pathil: Hubungannya sangat mendalam. Teknik yang saya gunakan-terutamanya ukiran kayu mencerminkan ketelitian dan disiplin yang diperlukan dalam proses artistik saya. Penghasilan cetakan memerlukan pendekatan yang berhati-hati dan teliti. Ia adalah meditasi, hampir terapeutik. Setiap ukiran memerlukan bukan sahaja kemahiran teknikal tetapi juga pelaburan emosi - Sama seperti tugas memadam kebakaran yang memerlukan respons terhadap situasi yang mendesak, kerja-kerja mencetak memerlukan saya untuk bertindak secara intuitif terhadap medium tersebut. Setiap ukiran membawa semangat dan tumpuan yang menguji ketahanan, di mana setiap proses adalah seperti langkah strategik untuk menyelesaikan sesuatu tugasan.
Pewawancara: Bagaimana itu diterjemahkan ke dalam karya seni anda, terutamanya karya-karya yang menggambarkan anggota bomba dalam situasi kecemasan?
Fuad Pathil: Karya saya adalah gabungan ingatan dan emosi. Setiap karya menceritakan sebuah kisah, merakam bukan sahaja tindakan heroik tetapi juga risiko yang ditanggung oleh anggota bomba. Sebagai contoh, salah satu cetakan saya menggambarkan satu adegan di mana sekumpulan bomba bergegas ke dalam bangunan yang terbakar. Ia bukan hanya tentang tindakan tetapi juga tentang beratnya tanggungjawab yang kami tanggung. Karya seni yang dihasilkan bertujuan untuk menghormati keberanian rakan-rakan saya dan menggambarkan momen-momen yang sering dilupakan dalam keadaan yang genting. Latar belakang saya memberi satu pandangan yang unik. Saya mendekati seni cetakan dengan fokus dan ketekunan yang sama ketika bertugas. Keperluan mendesak yang saya rasakan semasa memadam diterjemahkan kepada cara saya mengendalikan karya seni. Saya sering mendapati diri saya terlibat dalam proses yang sama seperti profesion saya yang lalu. Dalam kedua-dua bidang ini, terdapat panggilan untuk bertindak — sama ada memasuki bangunan yang terbakar atau menyelami selok-belok pengukiran.
Pewawancara: Agak menarik bagaimana pengalaman membentuk kreativiti kita. Saya lihat bahawa karya anda sering memperlihatkan sisi seorang anggota bomba dalam situasi kecemasan. Bolehkah anda mendalami beberapa kisah di sebalik karya anda?. Adakah anda melihat ia sebagai satu cara untuk menyampaikan pengalaman dan kesedaran kepada penghayat karya?
Fuad Pathil: Setiap karya mempunyai ceritanya tersendiri. Karya saya sering kali mencerminkan interaksi antara kemusnahan dan kelahiran semula, ianya sebuah kitaran yang saya saksikan dalam operasi-operasi yang telah dijalankan. Saya mengambil inspirasi dari detik-detik intens itu sebagai naratif visual. Contohnya, salah satu karya cetakan saya menangkap momen penyelamatan, di mana seorang anggota bomba menghulurkan tangan pada seseorang yang berada dalam kesusahan. Ini bukan hanya tindakan fizikal; ia melambangkan harapan dan hubungan. Saya berhasrat untuk membangkitkan rasa mendesak dan beratnya saat-saat itu dan ia juga berfungsi sebagai dokumen tentang keberanian, ketahanan, ketakutan, dan elemen kepahlawanan yang sering diabaikan. Ini adalah detik yang dibekukan dalam masa, menunjukkan keberanian dan ketakutan yang datang bersama dengan profesion ini. Ianya adalah satu bentuk rakaman memori dan penghormatan kepada rakan-rakan dan wira-wira tidak dikenali yang menjawab panggilan pada saat-saat genting. Saya percaya seni mampu untuk menceritakan kisah-kisah ini tanpa kata-kata. Saya berharap karya-karya saya membangkitkan rasa empati dan kefahaman yang dapat mencetuskan harapan tentang keberanian dan pemulihan di tengah- tengah kesusahan.
Pewawancara: Hubungan antara pengalaman dan karya seni anda nampaknya sangat erat. Bolehkah terangkan falsafah yang mendasari karya anda?
Fuad Pathil: karya saya kebanyakannya berkisar tentang dualiti: cahaya dan kegelapan, kekuatan dan kelemahan, ketenangan dan kecemasan. Kesedaran ini datang daripada pengalaman semasa berkhidmat sebagai anggota bomba. Kami sering dilihat sebagai wira yang berada di barisan paling hadapan. Dalam situasi kecemasan, terdapat elemen paradoks yang tidak kita sedari - situasi yang intens boleh juga membawa kepada keindahan yang sangat mendalam, sama ada ia merujuk kepada ketahanan semangat manusia atau kesan pemusnah yang dicipta oleh api. Ini adalah kedalaman pengalaman manusia yang jarang diterokai. Saya cuba menterjemahkan kompleksiti ini, dengan harapan untuk mengingatkan tentang kerapuhan dan kekuatan yang
terdapat dalam kehidupan. Saya percaya seni harus mencerminkan kompleksiti itu. Dengan mendedahkan keragaman emosi dari pengalaman-pengalaman tersebut, saya berharap dapat menjembatani jurang antara persepsi masyarakat tentang keberanian dan perjuangan sebenar yang kami hadapi. Saya ingin seni saya mencetuskan pemikiran dan empati. Falsafah bukan sahaja tentang mendokumentasikan pengalaman, tetapi juga mengekspresikan berat emosi di sebaliknya.
Pewawancara: Bidang seni cetakan memerlukan pembelajaran teknik dan perkakasan yang khusus. Bagaimana anda terlibat dengan seni cetakan? Adakah anda mendapat Pendidikan formal dalam seni lukis?
Fuad Pathil: Saya banyak belajar secara mandiri dengan melakukan percubaan dan kesilapan. Saya juga belajar secara tidak formal dengan beberapa seniman cetakan yang lebih senior yang menjadi mentor saya. Mereka menjemput saya bekerja bersama-sama di dalam studio mereka, memperkenalkan teknik dan proses pencetakan yang berbeza dan bahkan mengkritik karya saya. Kemurahan mereka berkongsi kemahiran dan pengalaman memberikan perbezaan yang besar pada perjalanan seni saya. Kini, saya telah mendalami bidang seni selama kira-kira 20 tahun, dan ia adalah satu proses pembelajaran yang mencabar, tetapi pada masa yang sama juga sangat memuaskan. Seni adalah cara saya menjelajahi emosi masa lalu melalui garis-garis dan tekstur dalam disiplin seni mencetak .
Pewawancara: Saya tahu anda terlibat juga menghasilkan pelbagai bentuk seni yang lain, tetapi anda nampaknya mempunyai fokus yang lebih pada bidang cetakan. Apa yang menarik minat anda terhadap medium ini?
Fuad Pathil: Kerja-kerja Pengukiran blok dan membuat cetakan adalah satu cabaran dan keseronokan. Saya rasa kesukaran teknik itu selari dengan siapa diri saya. Ia memerlukan ketepatan dan kesabaran. Kerja-kerja membuat blok cetakan juga membolehkan perincian diberi tumpuan, sama seperti kemahiran untuk bersiap siaga dan fokus dalam operasi menyelamat, keduanya harus dilaksanakan dengan baik. Ia menguji kemahiran sebenar saya dan memberikan ruang untuk saya berekspresi dengan lebih bebas.
Pewawancara: Bolehkah anda menjelaskan proses di sebalik karya seni anda, khususnya penggunaan teknik turisan /ukiran dan cetakan kayu?
Fuad Pathil: Saya akan bermula dengan konsep dan melakar idea, kemudian saya memindahkannya ke dalam sekeping blok kayu. Proses yang seterusnya adalah menuris dan mengukir di atas permukaan blok. Teknik ini tertumpu pada kerja menuris, mengukir dan memahat garis-garis yang rumit dan menerbitkan elemen gestural dengan ketepatan sehingga kawasan yang saya ingin cetak menghasilkan teraan yang baik. Ia adalah proses yang perlahan dan penuh kesabaran. Kecantikannya terletak pada butirannya; setiap potongan mendedahkan sesuatu yang berbeza. Kemudian menerjemahkan intensiti itu ke dalam cetakan akhir
Namun kaedah saya mungkin berbeza dengan seniman cetak yang lain, saya suka mencipta beberapa blok untuk satu karya; walau bagaimanapun, saya sering mendapati diri saya mengabaikan proses pencetakan - saya selalu terlarut dalam kerja pengukiran itu sehingga saya lupa untuk menghasilkan edisi! . Saya sering tersesat dalam kegembiraan mengukir, Ianya satu kepuasan segera dalam proses penciptaan - tetapi kemudiannya lupa tentang bahagian penting iaitu berkongsi karya itu dengan dunia. Ia hampir menjadi metafora untuk kehidupan sebagai anggota bomba, di mana kami sentiasa bersedia berada di lokasi untuk bertindak dengan sebarang situasi tetapi tidak pernah mengambil masa untuk merenung segala sesuatu yang telah saya saksikan atau capai.
Pewawancara: Nampaknya kecenderungan anda semasa proses berkarya agak bercelaru dan tidaklah begitu mengikut amalan seni cetak yang begitu prosidural! Bagaimana elemen-elemen ini muncul dan memberi kesan dalam karya akhir anda dari segi gaya?
Fuad Pathil: Karya saya didominasi oleh garis dan gerakan. Saya percaya bahawa garis-garis yang saya ukir bukan sahaja merakam pergerakan tetapi juga cuba menangkap graviti emosi saat karya sedang dihasilkan. Setiap garis mempunyai tujuan dan menyumbang kepada naratif keseluruhan. Elemen gerakan mengundang penonton untuk terlibat, menggalakkan mereka untuk merasai keperluan dan intensiti yang saya tangkap semasa hari-hari saya sebagai pemadam kebakaran. Jadi gerakan gestural semasa saya mengukir memerlukan juga elemen spontan untuk mewujudkan elemen kecelaruan & huru-hara yang menggambarkan pengalaman yg saya lalui. Selepas saya berpuas hati dan selesai dengan kerja-kerja mengukir blok, barulah saya akan memikirkan dan mengambil sedikit masa unutk menyesuaikan diri dengan kerja-kerja mencetak edisi yang memerlukan tata-kerja yang agak prosidural dan memerlukan proses mengulang cetak yang konsisten. Saya menyedari bahawa penghasilan karya seni cetakan menuntut disiplin bekerja yang berbeza, oleh kerana itu karya-karya cetakan saya mengambil masa yang lebih lama untuk di terbitkan.
Pewawancara: Terima kasih kerana berkongsi pandangan mendalam tentang perjalanan seni anda. Moga hasil kerja anda memberi inspirasi dan kami berharap untuk melihat bagaimana
karya anda berkembang pada masa depan!
*Wawancara ini telah dikendalikan oleh Fadli Mokhtar Pada 27 Ogos 2024, bertempat di Studio kediaman Fuad Pathil.
* Fadli Mokhtar adalah penggiat seni cetak dan salah seorang ahli studio Chetak 17.
Comments