Oleh Juhari Said
PENGENALAN
Pameran Go Block yang pertama telah diadakan di Galeri Petronas, Kuala Lumpur pada 5 Februari 2009. Lima orang karyawan kontemporari negara iaitu Izan Tahir, Zulkifli Yusuff, Kim Ng, Shahrul Jamili dan Juhari Said telah dijemput mempamerkan karya-karya mereka. Kurator jemputan pula adalah Badrolhisham Mohamad Tahir dari Universiti Teknologi Mara. Ini adalah julung kalinya Galeri Petronas mengenengahkan karya-karya ‘pemikiran yang berkembang’ dari aliran seni cetak atau seni grafis. Pameran ini mendapat sambutan dan sebaran yang begitu baik sekali.

Pada 15 September 2010, Muzium dan Galeri Pulau Pinang bersama Universiti Sains Malaysia telah menganjurkan PIPE’10- Pameran Seni Cetak Antarabangsa Pulau Pinang 2010. Seramai 563 karyawan dari 46 negara telah menyertai pameran ini. Disamping pameran ini, Go Block berpameran dengan cara yang tersendiri disekitar Bandaraya Pulau Pinang. Mereka bergabung serta dibantu oleh pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia dan kumpulan pengayuh beca Pulau Pinang.

TITIK MULA
Dalam seni cetak atau limbag sining pendekatan itu berbeda mengikut pola budaya fikir, persekitaran serta keperluan masyarakat diwaktu-waktu yang khusus. Di Nusantara, seni cetak atau seni terap merupakan kegiatan asasi yang dipraktikan saban hari atau musim. Ia bersifat holistik dan merangkumi kehidupan manusia. Sememangnya itu ciri-ciri kesenian daerah kita. Maka wanita-wanita tempatan dipakaikan ‘karya-karya tangan’ yang di panggil batik. Corak batik dihasilkan dari matrik yang diperbuat dari kayu, sehinggalah ia berubah menggunakan kepingan logam seperti tembaga dan zinc. Pembuatan batik terbahagi kepada kerja-kerja khusus, dari seni reka, pembuatan blok atau matrik, mengecap, mewarna sehinggalah proses penyiapan. Begitu juga telepok yang menggunakan blok kayu, cuma prosesnya agak mudah berbanding dengan membuat batik. Peranannya adalah penyeri pakaian wanita melayu zaman dahulu dalam istiadat tertentu dan istimewa.
Seni masakan juga tidak ketinggalan mempraktikan kaedah cetakan terutama dalam membuat kuih. Acuan kuih putu yang diperbuat dari kayu cengal banyak dihasilkan di Kelantan di abad 19 dan awal 20an. Sistem bekerja menggunakan matrik ini adalah lahir dari kesedaran terhadap proses ‘ulang’ yang boleh memenuhi permintaan serta penjimatan tenaga serta kos yang minima.
Perkembangan dan penerokaan seni cetak ini begitu maju selari dengan kesenian yang lain terutama dinegara besar seperti China, Jepun, Korea, Eropah dan Amerika Syarikat. Pembuatan skrol yang menggunakan blok kayu sebanyak 130,000 keping oleh sami-sami Buddha Tripitaka pada tahun 972-83 amat mengkagumkan. Dari sini ia berkembang ke semenanjung Korea dan Jepun. Di zaman Edo (1603- 1868) cetakan kayu Ukiyoe telah menjadi sebahagian dari tunjang dalam sejarah seni tampak Jepun dan juga menjadi kegilaan pelukis-pelukis impresionis di Perancis. Ketika ini juga kesenian katagami atau stensil berkembang dengan pesat sekali. Teknik ini juga popular di negara China dan Korea. Cuma katagami menggunakan matrik yang dibuat dari lapisan kertas buatan tangan yang dilekat lapis oleh jus buahan. Dari tradisi ini tercetuslah teknik saring sutera yang mana ia lebih moden, tangkas dan tepat. Sehingga teknik ini berperanan sebagai pendokong penting dalam arus Pop Art di Amerika Syarikat.
Kerja–kerja mahir pembuatan senjata perang Empayar Parsi dan Ottoman juga telah memberi petunjuk dan inspirasi kepada seniman-seniman Eropah terutama dalam pengolahan seni cetak gurisan asid, intaglio dan mezotin. Ia lebih rancak lagi apabila kilang kertas yang pertama Eropah dibangunkan pada 1150 di Toledo dan Xativa. Kemudian Eropah disuntik dengan penciptaan mesin cetak dan pembuatan matrik oleh Johann Gutenberg di Jerman pada 1450. Dalam situasi resah untuk maju, Eropah dipacu oleh revolusi industri yang bertebaran di seluruh kota-kota besarnya.
POTILOMBUS PINOGUMU
Penghijrahan seniman ke daerah yang lebih selamat serta aman sebelum dan semasa perang berterusan apatah lagi setelah ia tamat pada 1948. Sosio budaya manusia kembali subur disegenap pelusuk dunia terutama di kota-kota besar. Ia berkembang pesat lewat 40an dan seterusnya 50an. Destinasi utama adalah kota London dan New York. Imigrasi ini pula terdiri nama-nama besar dari Eropah seperti Josef Albers, Max Ernst, Andre Masson, Andre Breton, Matta serta lain-lainnya. William Hayter menubuhkan Atelier 17 di Paris berpindah ke New York pada 1940. Pratt Graphics Centre pula menuruti pada 1950. Pada 1957 Tatyana Grosman menubuhkan Universal Limited Art Edition di West Islip. Tiga tahun berikutnya Ford Foundation membantu June Wayne untuk memulakan Tamarind Lithography Workshop di Los Angeles. Kemudian diikuti oleh studio Gemini G.E.L, Tyler Graphic Ltd dan Landfall Press dan lain-lain.
Pihak universiti dan pusat pengajian tinggi juga mengamalkan sikap yang terbuka dan sentiasa bekerjasama dengan seniman dan golongan profesional yang ingin menerbitkan karya-karya mereka. Disamping itu banyak program residensi yang memberi peluang seniman dan pelajar berkarya ditempat-tempat tersebut. Pemikiran serta sikap inklusif ini secara tidak langsung telah menyemarakan lagi perkembangan seni tersebut. Gabungan antara seniman dan ahli akedemi yang bijak dan berfikiran jauh seperti Donald Saff di University of South Florida sangat manafaat dalam rangka pertumbuhan seni cetak di era 60an. Ini gelora ringkas perkembangan di tahun 60an, aktif, tangkas serta berani! Dengan segala kepakaran, teknik serta teknologi seniman bergerak bersama para akedemi cerdas berdedikasi dengan dibantu oleh golongan profesional. Ketika ini seni cetak melonjak jauh dari tradisi dan konvensi seni cetak yang sering diamalkan. Tidak keterlaluan kalau dikatakan pada awal 60an seni cetak itu sudah berangkat ke daerah yang agak asing bagi sesetengah golongan seniman kerana keupayaan berfikir dan memahami agak berbeza. Bagi yang lain pula ia tenaga baru untuk terus berkarya melantun tafsiran dan pengertian seni cetak jauh kehadapan penuh kesegaran!.


Maka kita melihat karya Robert Rauschenberg yang bertajuk Accident (1963) yang memenangi hadiah utama di Ljubljana Graphic Biennale, dimana beliau menempel batu serpihan dari matrik di bahagian bawah karya itu. Seterusnya cetakan dimensional atau cetakan berbilang matra dari karya Claes Oldenburg yang bertajuk Profile Airflow (1969) atau James Rosenquist bertajuk Mirror Flag (1971) juga Frank Stella yang menggunakan pulpa kertas dalam karya bertajuk Olyka iii (1975). Inilah sebahagian perkembangan seni cetak yang cukup menarik bermula dari awal 60an.

Di Malaysia pada 1980, muncul cetakan dimensional yang bertajuk Alibi of Pulau Bidong sempena nama pulau di Terengganu yang menempatkan pelarian perang Vietnam. Ponirin Amin menggunakan origami kertas yang disusun diatas petak-petak seperti papan catur dan tali yang digantung dibahagian tengah seperti jaring ikan. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa matrik disini adalah pada lipatan origami dan alat cuban untuk membuat jaring tersebut. Hakikatnya tidak ramai pengkarya yang meneroka kemungkinan dan menjelajah pengertian baru dalam seni cetak. Ia memerlukan penelitian halus mendalam. Jadi seniman harus bijak dan juga seorang pemikir yang konsistan kerana berkarya bukan seperti musim layang-layang atau gasing dizaman kanak-kanak. Karya yang lahir mungkin bakal penanda serta rujukan dalam sejarah. Mungkin ramai diantara kita masih kabur dan berada jauh dari denai laluan seorang seniman. Pada 1984 muncul seorang seniman di Bandung, Indonesia yang menggunakan kertas sebagai bahan untuk berkarya. Lazimnya pegrafis menggunakan kertas hanyalah sebagai alas atau lapik! Tetapi Setiawan Sabana menunggang dan membedah kertas. Kertas yang dihasilkan dari acuan dipamerkan sebagai karya instalasi dan adakalanya diiringi oleh performen.

Comments