Oleh Dr. Safrizal Shahir
Dari Kiri: Juhari Said, Shahrul Jamili, Izan Tahir, Zulkifli Yusuff, dan Kim Ng
Pameran bertajuk Go Blok yang berlangsung di galeri Petronas, KLCC ini mengetengahkan karya-karya seni cetak yang boleh disifatkan sebagai berbeza, lain dan bertaraf maju. Karya-karya seni cetak tersebut dihasilkan oleh lima orang seniman tempatan iaitu Juhari Said, Izan Tahir, Zulkifli Yusoff, Shahrul Jamili dan Ng Kim Peow (Kim Ng). Kesegaran atau perbezaan jenis dan bentuk seni cetak yang diketengahkan oleh seniman-seniman tersebut amatlah terkehadapan jika kita menggunakan doktrin seni cetak konvensional sebagai kayu ukurnya. Pemerhati tidak lagi dihidangkan dengan kepipihan karya yang dijelaskan melalui soal edisi dan pengesahan cetak yang asli. Keadaan ini dengan jelas melambangkan semangat penerokaan baharu dalam bidang seni cetak, bahkan turut boleh memberi takrifan berlainan kepada konsep dan teknik seni cetak itu sendiri.
Juhari Said sebagai seorang seniman seni cetak tegar tempatan telah hadir dengan sebuah karya seni pemasangan yang bertajuk UNTITLED II (2009). Karya ini dengan sedar telah cuba untuk memberi tafsiran lanjut atau maju kepada idea dan konsep cetak dan cetakan. Persoalan atau isu tentang matrik dan impresi konvensional dalam seni cetak telah dikembangkan melalui tafsiran yang diketengahkan berdasarkan elemen ruang dan masa. Karya beliau telah memanfaatkan aspek cahaya dan bayang sebagai ganti kepada dakwat dan tanah liat sebagai ganti kepada matrik. Hasilnya melalui seni pemasangan tersebut kita telah dihidangkan dengan sebuah karya seni pemasangan yang juga sekaligus sebuah karya seni cetak ‘alternatif’ berdasarkan tafsiran baru kepada idea dan konsep mencetak berdasarkan ruang masa yang berubah-ubah dan juga baharu.
Juhari Said, Untitled II, Tanah, Serbuk Pewarna and lampu Neon , Instalasi, 2009
Tafsiran dan takrifan baharu ini dengan nyata telah meleburkan sifat ‘kebekuan’ seni cetak yang dikatakan terlalu patuh dengan doktrin konvensionalnya. Seni cetak telah menjadi medan eksplorasi yang bersifat eksperimental berdasarkan tafsiran kendiri kepada asas idea atau kata kunci ‘cetak’ dan ‘mencetak’. Apa yang lebih menarik bagi karya-karya yang wujud dalam pameran ini adalah sifat rentas bentuk yang wujud pada karya-karya terbabit, namun pada waktu yang sama mempunyai asas kukuh dari segi tafsiran kepada wawasan, falsafah dan teknik seni cetak itu sendiri.
Contoh ketara boleh diketengahkan melalui karya Izan Tahir bertajuk GOING (2008) yang dengan jelas boleh mengelirukan kita dengan konsep, idea dan teknik seni cetak. Bentuk-bentuk tapak kaki yang terhasil dalam karyanya adalah penzahiran sebuah cetakan yang di manfaatkan melalui serat kertas. Serat kertas yang merupakan asas atau pelantar kepada penerima bahan bercetak pipih bagi seni cetak konvensional telah dimanfaatkan dan ditekan ke tahap timbulan dalam yang melampaui sifat timbulan biasa dalam seni cetak konvensional. Penggunaan kaki sebagai matrik tentunya akan menghasilkan impresi yang berbeza dan pada tahap tertentu membuatkan pemerhati biasa akan tertanya-tanya adakah karya GOING ini sebuah karya seni cetak atau ia sebuah arca. Keadaan yang sama juga berlaku jika seseorang pemerhati melihat karya beliau yang bertajuk WHEN YOU ARE AWAY (2009). Penerokaan kepada aspek timbulan yang terhasil melalui tekanan kepada objek ini dari beberapa sudut telah menginsafkan kita dengan idea ‘cetak’ yang paling asasi sekali.
Izan Tahir, When You Are Away,
Instalasi, Akrilik dan Perspek, 2009
Praktis eksperimentasi ini sesungguhnya adalah sebuah latihan penerokaan yang mencabar dan sekaligus menarik kerana walaupun penerokaan bentuk seni cetak baharu ini terlihat seakan-akan terpesona dengan gerak bentuk seni pemasangan yang biasa dijayakan oleh seniman sezaman, namun asas wawasan dan matlamat ciptaan karya mereka sebenarnya berada dalam landasan ingin mencabar dan meluaskan maksud dan tafsiran kepada konsep dan praktis ‘cetak’ dan ‘cetakan’.
Shahrul Jamili melalui karyanya seperti RETURNING IN KIND (2008) dan FACE VALUE (2008) telah mengingatkan kita tentang sifat cetakan dan cetak yang amat rapat dan berkitar dalam kehidupan kita sehari-hari. Melalui karya RETURNING IN KIND, Shahrul telah menggunakan cap jari manusia sebagai imej utama karya. Cap jari yang ditindan secara berlapis di antara warna hitam dan kelabu tersebut telah juga menyedarkan kita bahawa proses cap jari adalah praktis seni cetak yang sebenarnya telah dipraktikkan oleh hampir semua manusia. Wawasan semantik mungkin tidak berlanjutan dalam karya ini namun sifat mantik cap jari adalah amat signifikan menjelaskan proses dan idea seni cetak itu sendiri. Nada yang sama juga terlihat melalui karya FACE VALUE, apabila dengan mudah kita boleh menyimpulkan bahawa duit syiling sebenarnya adalah hasilan cetakan yang dipergunakan secara meluas dengan tidak memberi perhatian kepada proses pembuatannya yang ‘bercetak’.
Kesedaran kepada proses dan idea cetakan yang diketengahkan ini berupaya membuatkan pemerhati sedar dengan wawasan seni cetak yang sebenarnya serta dapat menghayati persoalan dan idea penerokaan yang dilakukan oleh seniman-seniman terbabit. Bahkan dalam banyak keadaan dengan mengambil contoh-contoh biasa yang terlihat di persekitaran, kita dapat menghayati secara lebih mendalam dan bermakna berkaitan proses cetak dan cetakan secara lebih luas. Dalam banyak keadaan seni cetak sebagai satu bidang ikhtisas atau genre khusus dalam seni halus telah dikekang dengan sifat eksklusiviti demi untuk menjaga keaslian hasil seni cetak itu sendiri. Namun ironinya pula kekangan melalui ciptaan doktrin tersebut telah menyempitkan pula ruang eksplorasi yang lebih luas dalam bidang tersebut. Dalam persoalan kesempitan nada ekspresi seni cetak itu pula telah wujud peluang kepada eksplorasi bertindan demi untuk mencipta kesegaran bentuk tampakan seni cetak. Karya oleh Kim Ng telah menggemakan semula sifat eksplorasi seni cetak secara bercampur-campur yang boleh disifatkan sebagai satu strategi demi untuk mewujudkan ketajaman visual. Melalui karyanya yang bertajuk THE FACE OF THE LAND (2008), gemaan sifat seni cetak campuran gabungan ala Robert Rauschenberg telah bergema dengan tajam dan garing. Namun karya Kim Ng yang bertajuk IN PRESERVING AND CONSERVATION (2008) dilihat lebih bernada eksploratif. Karya ini yang bersifat timbulan cetak telah mewujudkan sifat kedinginan yang menggigit dari aspek visual mahupun teknikalnya. Idea cetakan timbul yang dibuat hasil dari proses cetakan serigrafi keatas plaster, nyata telah memadukan sifat konvensional dan eksploratif yang tajam dan strategik. Keputihan plaster itu sendiri telah memberikan nilai minimalis yang hening dan memukau.
Zulkifli Yusoff, MERDEKA 57 (perincian) , 2009,
Media campuran, 914 × 244 × 244 cm,
Koleksi Balai Seni Lukis Negara
Comments