top of page

Okir

Updated: Apr 29, 2021

Oleh Awang Damit Ahmad



Sumbangan Juhari Said terhadap seni cetakan di Malaysia memang tidak dapat dinafikan. Tidak keterlaluan kalau kita unjurkan Juhari Said adalah sinonim kepada seni cetakan Malaysia. Komitmen dan kesenian beliau telah berfungsi sebagai penentu arah dan perkembangan seni cetakan di negara ini. Kini kita dijuadahkan pula dengan OKIR, satu siri cetakan oleh Juhari Said yang bertunjangkan okir, istilah peribumi Asia Tenggara merujuk kepada ukiran kayu. Empat tahun selepas pameran solo ‘Akal di Mata Pisau’, siri OKIR kini muncul sebagai kemuncak kepada kembara artistik dan intelektual seniman Juhari Said.

Okir 1, 164x47cm, Kayu, Cat Minyak, 2007

OKIR adalah manifestasi Juhari secara total: pendirian, keberanian dan kecekalan beliau untuk mencabar dan membantah segala konvensi dan tradisi seni cetakan. Siri ini menolak pembuatan blok, atau state proofing, proses yang juga merujuk kepada pengarcaan. Penolakan ini mendokong pendirian Juhari tentang OKIR sebagai satu dimensi baru seni cetakan. Beliau menekankan bahawa konsep OKIR bukan sekadar justifikasi intelektual atau klise polemik tanpa renungan akal. Revolusi yang diunjurkan oleh OKIR bertapak kepada aspek pensejarahan yang konkrit. Ia bertaut dengan ‘seni cetakan kombo’ (combo prints atau combined printmaking) yang diperjuangkan oleh seniman-seniman di Amerika Syarikat pada tahun 1960-an.


Transformasi seni cetakan terhasil bukan sahaja melalui perhubungan antara pendekatan, proses dan idea tetapi turut mengambil-kira media yang digunakan. Jalinan antara permukaan dengan imajan yang diukir, dakwat dan tekanan adalah kritikal bagi seniman cetakan.


Tradisi seni cetakan menyarankan bahawa makna atau konsep ‘asli’ (originals) ditentukan oleh konvensi proofing dan edisi. Konvensi ini menetapkan bahawa impresi cetakan harus seragam sepanjang proses produksi. Namun dalam konteks seni kontemporari, definisi dan konvensi ini telah dikaburkan signifikannya, malah sudah berfungsi sebagai satu paradoks yang definitif di dalam disiplin seni cetakan.


Okir 4, 178x57cm, Kayu, Cat Minyak, 2007



Juhari Said terkenal dengan ketetapan dan kegigihan beliau menganjurkan idea dan bentuk. Beliau berkarya bukan untuk kepuasan atau populariti. Bagi Juhari proses seni cetakan adalah satu wacana yang dibentuk oleh penakulan demi mencapai hajat, tujuan dan makna yang terkandung di dalam satu disiplin seni yang sangat teknikal. Komitmen Juhari terhadap keseniannya terserlah melalui pendekatan beliau yang menekankan proses eksperimental dan canggih. Hal ini jelas ditunjukkan oleh ‘Death of a Prince’ (1983) yang beremosi, surrealistik dan politikal; pesona warna dalam ‘Garden Series’ (1985); komentari dan kritik sosial, politik dan budaya dalam ‘Baju Kurung dan Secawan Kopi’ (1993); politik dan ekspresionisme universal dalam ‘Kilimanjaro in Nagasaki’ (1995); dan alegori yang menyindir dan provokatif dalam ‘Katak Nak Jadi Lembu’ (2003).


OKIR adalah bukti keahlian Juhari sebagai seorang seniman yang menguasai sepenuhnya asas-asas teknikal untuk menghasilkan estetika visual yang mantap. Pemilihan kayu sebagai fokus karya adalah sama pentingnya dengan idea atau konsep yang mendasari karya itu sendiri. Reaksi intuitif dan pengalaman visual harian menghubungkan seniman dengan sifat dan semangat kayu. Juhari memotong, mengukir dan menanda, justeru menghasilkan impresi visual yang mengagumkan dan tanpa batasan. Hanya seniman yang matang mampu memiliki harmoni tubuh dan minda untuk menghasilkan kespontanan yang dipaparkan dalam siri OKIR.

Juhari sudah melonjak kearah satu dimensi baru seni cetakan. Lonjakan ini memerlukan proses dan pendekatan baru; mengurai segala rahsia, tenaga dan maksud yang tersembunyi pada permukaan blok; dan menegaskan bahawa impresi visual bukan sahaja menjelma di atas kertas tetapi pada minda seniman dan audien. OKIR mengukir pelantar alternatif yang membawa pemikiran dan perspektif baru dalam seni cetakan Malaysia.


Awang Damit Ahmad



Dipetik dari katalog Okir: Juhari Said, terbitan Wei-Ling Gallery, Kuala Lumpur, 24 September 2007


377 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page